Wednesday, February 8, 2012

kes pengesahan Hibah




PENDAHULUAN

Kes ini adalah pertikaian berkaitan tentang harta hibah.

Kes ini telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang dihakimi oleh Tuan Haji Abdul Walid bin Abu Hassan dan keputusan telah dibuat pada 14 Otober 1999. Kes ini dikategorikan sebagai kes mal no. 04-100/97.

Kitab-kitab yang dirujuk  di dalam kes ini ialah Mugni al-Muhtaj, jilid 2, muka surat 396 -397, 400, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, Jilid 5, muka surat 28-29, Matlak al-Badrain Wa Majmak al-Bahrain, muka surat 126.

Diantara undang-undang yang digunapakai di  adalah Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 [ no.7/93] – seksyen 48 (1)(2)(b), manakala kes yang dirujuk adalah kes Eshah bt Abd. Rahman lwn Azhar Ismail, Guaman No: 41-004/1/95 – Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu.


KONSEP HIBAH

Hibah berasal dari perkataan وهب (wahaba) yang bermaksud pemberian. Hibah dari segi bahasa bermaksud “ melebihkan seseorang dari yang lain walaupun bukan dengan harta”. Ia juga membawa maksud “ habbat” yang bererti “ berhembusnya atau berlalunya angin”[1]. Menurut kamus Lisan al-‘Arab, hibah didefinisikan sebagai pemberian atau hadiah yang dilakukan secara sukarela dalam mendekatkan diri kepada Allah swt, tanpa mengharapkan apa-apa balasan[2]. Definisi ini dirujuk berdasarkan teks yang terdapat di dalam Lisan al-‘Arab seperti yang tertera di bawah ;
العطية الحالية عن الاعواض والاغراض

Manakala dari segi istilah, hibah ialah satu kontrak yang merujuk kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang balasan, semasa masih hidup atau dilakukan secara sukarela.[3]

Ulama’ mendefinisikan hibah sebagai akad yang mengandungi penyerahan hak milik seseorang kepada orang lain semasa hidupnya tanpa gantirugi. Dengan demikian, akad hibah itu tidak berkait dengan apa-apa syarat[4]. Menurut Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha dan ‘Ali Sharbaji, di dalam kitab Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Madhahib al-Imam al-Shafii, hibah adalah pemberian yang diberikan bukan kerana tanggungjawab tertentu dan emberian ini member manfaat kepada penerima.[5]

Kitab Dr. Wahbah Zuhaili yang bertajuk Fiqh Wa Adillatuhu dalam bab hibah  memberikan gambaran jelas kepada pembaca tentang definisi hibah berserta rukun-rukunnya dalam bab hibah. Kitab ini menakrifkan hibah sebagai pemberian yang mencakupi hadiah dan sedekah, kerana hibah, sedekah, hadiah dan atiyyah membawa makna yang hampir sama. Jikalau memberi sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah s.w.t, ini dipanggil sedekah. Jikalau menyampaikan sesuatu kepada orang yang dihadiahkan kerana sesuatu penghargaan dan kasih sayang kepadanya, disebut hadiah ataupun hibah ( pemberian).

Hibah dalam istilah syarak ialah sesuatu akad yang dapat memindah milik sesuatu tanpa perlu menukar ganti, kerana dibuat secara sukarela. Mazhab hanbali[6] menakrifkan dengan maksud pemindahan milik barang pemberian yang harus diselenggarakan atau digunakan pada harta yang diketahui, atau sukar diketahui[7] ada dan kuasa menyerahkannya, bukan perkara wajib di dalam kehidupan tanpa menggantikan dengan sesuatu, yang mana dari segi urf hibah dapat dikira daripada lafaz hibah (pemberian) dan memberi hak milik dan seumpamanya[8].

Rukun hibah

1.      Pemberi  
Pemberi ialah orang yang memiliki barang yang diberi, jikalau benar ia pemilik yang sah, dia berhak memberi. Menurut pendapat jumhur, sekiranya pemilik barang sakit memberi sesuatu kepada seseorang, kemudian mati, pemberiannya itu hanya 1/3 (20 peratus) daripada harta peninggalannya.

2.      Penerima
Penerima ialah semua orang atau seseorang itu harus memberikan semua hartanya kepada orang lain melalui persetujuan. Manakala pemberian semua hartanya kepada orang lain adalah melalui persetujuan. Manakala pemberian semua hartanya kepada sebahagian anak-anaknya dalam pemberian adalah makruh hukumnya, menurut jumhur ulama’ sekalipun ada yang berpendapat harus.

3.      Sighah
Segala perkara yang dituntut dalam ijab dan qabul berupa perkataan atau perbuatan seperti lafaz hadiah, hibah, pemberian dan seumpama dengannya.

Abu Yusuf, Ulama’ mazhab Syafie dan mazhab hanbali pernah berkata[9],” bila pinjaman itu diterima dan dipegang, ia dipanggil pemberian (hibah). Kata pemberi yang memberikan barang dengan menunggu-nunggu dan tertahan-tahan adalah terbatal.


ISU-ISU

1)      Samaada  harta tersebut dikira harta sepencarian atau hibah.
2)      Apakah di dalam kes ini telah terlaksana dengan sempurna rukun-rukun hibah?
3)      Jika terlaksana bolehkah hibah ditarik balik?
4)      Apakah harta tersebut telah menjadi milik sempurna plaintif dan defenden?

FAKTA KES

Fakta yang menjadi isu di dalam kes ini adalah melibatkan sebidang tanah di plot No.*, Lot.*, Mukim **Daerah Seberang Perai Tengah merupakan milik  asal Che ** bin Ibrahim yang juga merupakan bapa angkat kepada plaintif dan bapa saudara kepada plaintif dan defenden. Plaintif dan defendan adalah sepupu. Tanah tersebut telah diberikan kepada Defenden semasa plaintif dan defenden masih hidup bersama (suami isteri).

1)      Pada 13.7.1994 , ayah plaintif telah menarik balik pemberian itu dan memberikan pula tanah itu kepada plaintif selepas berlaku perceraian diantara plaintif dan defenden. Oleh itu, plaintif memohon pengisytiharaan mahkamah bahawa tanah tersebut adalah milik penuh  plaintif. Isu yang ditimbulkan oleh plaintif adalah sama ada tanah tersebut merupakan harta sepencarian ataupun hibah.

2)      Mahkamah telah meneliti kes ini, dan menyatakan bahawa, perbicaraan kes ini bukanlah berkaitan tuntutan harta sepencarian, bahkan ia membicarakan khusus berkaitan hibah.

3)      Di dalam keterangan yang diberikan oleh plaintif dan defenden, saksi-saksi serta hujah kedua belah pihak tidak membicarakan secara khusus dan panjang lebar berkaitan dengan rukun-rukun hibah. Dimana sepatutnya, rukun-rukun hibah lah yang perlu dibuktikan sama ada sempurna atau tidak bagi memudahkan mahkamah membuat pengistiharaan semasa dipohon.

4)      Mahkamah menerima tuntutan ini dan mendapati bahawa kes ini berada di bawah bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes ini iaitu menurut Enakmen Pentdbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang di dalam  seksyen 49 (1)(2)(b) yang memperuntukkan berkaitan dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah Pulau Pinang dan seksyen 48(2) (b) (VI) pula berkaitan dengan alang semasa hidup (hibah).

5)      Hakim membenarkan tuntutan plaintif. Mahkamah mendapati pemberian tanah di Plot No.8, Lot.No.6, Mukim 18, Daerah Seberang Perai Tengah oleh bapa angkat plaintif kepada plaintif merupakan suatu hibah dan memenuhi syarat-syarat sesuatu hibah. Oleh yang demikian, pemberian ayah angkat plaintif kepada plaintif adalah hibah.


ALASAN PENGHAKIMAN

ISU 1 : sama ada harta tanah tersebut dikira sebagai harta sepencarian ataupun hibah.

Di dalam memutuskan kes ini, hakim pada awalnya telah menerima tuntutan plaintif berdasarkan kuasa Mahkamah Syariah untuk mendengar dan memutuskan kes ini menurut seksyen 49 (1)(2)(b) dan seksyen 48(2)(b)(vi) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993 iaitu :

49. (1) sesuatu Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Pulau Pinang dan hendaklah diketuai oleh Seorang Hakim Mahkmah Rendah Syariah.

(2) Mahkamah Rendah Syariah hendaklah-
(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding yang Mahkamah Tinggi Syariah diberikuasa untuk mendengar dan memutuskannya.

48. (1) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah mempunyai bidang kuasa di seluruh Negeri Pulau Pinang dan hendaklah diketuai oleh seorang Hakim Syarie.

(2) Mahkamah Tinggi Syariah hendaklah-

(b) dalam bidang kuasa malnya, mendengar dan memutuskan semua tindakan dan prosiding dalam mana semua pihak adalah orang islam dan berhubung dengan –
(vi) alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai dengan wang atau nilaian wang oleh seseorang islam.

Di dalam kes ini, pada asalnya, pihak plaintif telah membuat tuntutan berkaitan dengan tanah sebagai hak harta sepencarian atau hibah. Pertama sekali, di dalam alasan penghakiman ini, hakim telah menjelaskan bahawa tuntutan ini adalah berkaitan dengan pengesahan sah atau tidak sesuatu hibah dan tidak berkaitan dengan harta sepencarian. Hibah ini bukanlah sedekah mahupun hadiah. Hakim telah merujuk kitab Mugni al-Muhtaj, jilid 2, muka surat 396-397 menjelaskan perbezaan hibah, sedekah dan hadiah iaitu :

Terjemahannya: “ memberi milik dengan tanpa balasan dinamakan hibah, sekiranya memberi milik kerana mengharapkan pahala akhirat, maka dinamakan sedekah, dan sekiranya dipindahkannya kepada yang menerima hibah sebagai memuliakannya, maka dinamakan hadiah.”

Ulasan :

Di dalam penghakiman ini, hakim telah menyatakan bahawa kes ini melibatkan kes mal dimana Mahkamah Rendah Syariah mempunyai kuasa keatasnya sepertimana diterangkan di atas. Selain itu, perlembagaan persekutuan juga ada memberi kuasa kepada mahkamah syariah dalam menentukan hukum syarak serta undang-undang diri dan keluarga yang terpakai bagi orang yang menganut islam dan juga termasuk hal berkaitan pemberian iaitu hibah. Sepertimana yang diperuntukkan di bawah jadual kesembilan, senarai 2 senarai negeri.

Berdasarkan perbezaan diantara sedekah, hadiah dan hibah. Di dalam suatu kes yang dipilih oleh Harun bin Muda dan lain-lain lawan Mandak binti Mamat dan lain-lain [1999] Jilid XIII, bilangan 1, Jurnal Hukum 63, apabila YA Hakim membuat rumusan seperti berikut :

i)                    Pemberian kepada seseorang yang berhajat tanpa lafaz ijab dan qabul ianya adalah sedekah
ii)                  Pemberian kepada seseorang yang berhajat disertai lafaz ijab dan qabul, maka ianya adalah sedekah dan hibah (sic)
iii)                Pemberian kepada seseorang kerana memuliakan orang itu tanpa lafaz ijab dan qabul maka ianya adalah hadiah dan hibah.
iv)                Pemberian kepada seseorang kerana memuliakan orang itu dengan adanya lafaz ijab dan qabul maka iana adalah hadiah dan hibah.
v)                  Pemberian bukan kerana untuk mendapatkan pahala dan bukan pula kerana memuliakan orang yang diberi itu dengan disertai lafaz ijab dan qabul, maka pemberian itu hanya hibah semata-mata.

Di dalam membicarakan kes ini, sebanyak 3 isu yang telah dikenalpasti, iaitu:

1)      Apakah di dalam kes ini telah terlaksana dengan sempurna rukun-rukun hibah?
2)      Jika terlaksana bolehkah hibah ditarik balik?
3)      Apakah harta tersebut telah menjadi milik sempurna Plaintif atau Defendan?

ISU 2 : sama ada ruku-rukun hibah telah sempurna rukun-rukun hibah

Di dalam menghuraikan isu yang pertama iaitu berkaitan dengan rukun-rukun hibah, hakim telah menyatakan bahawa terdapat 3 rukun yang perlu dipatuhi untuk menyatakan sesuatu hibah iaitu:

1)      Pihak-pihak yang melakukan hibah ( pemberi dan penerima )
2)      Akad (ijab dan qabul)
3)      Barang yang dihibah.

Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut, di dalam perbicaraan ini, plaintif telah memberi keterangan secara bersumpah dan disokong dengan keterangan seorang saksi iaitu Che Mat Bin Ibrahim (disebut sebagai SP1). Plaintif  telah mengemukakan keterangan secara dokumen iaitu; -

- Salinan Surat Perakuan Cerai No.0060 yang ditanda sebagai P1
-Surat Penarikan Balik Tanah yang ditanda sebagai P2 dan
-  Surat Pengesahan daripada peguam N.K A***** menjalankan proses tukar nama kepada plaintif ke atas tanah tersebut yang ditanda sebagai P3.

Manakala Defendan di dalam perbicaraan ini telah memberi keterangan secara bersumpah dan disokong oleh keterangan seorang saksi  (disebut sebagai SD1). Keterangan secara bersumpah dan disokong oleh keterangan dokumen iaitu:

- Resit Bayaran Cukai Tanah yang ditanda sebagai D1,
- Resit bayaran proses tukar nama dari peguam N.K A****** yang ditanda sebagai D2
- Surat Pemberian Tanah daripada Che Mat Ibrahim yang ditanda sebagai D3.

Mahkamah juga telah memanggil N.K A**** untuk memberi keterangan di dalam kes ini.

Berdasarkan keterangan daripada Plantif dan Defenden, hakim mendapati bahawa rukun pertama hibah iaitu pemberi dan penerima wasiat telah memenuhi syarat-syaratnya seperti yang dikendaki oleh syarak, iaitu berkeahlian melakukan kira bicara, harta itu milik sempurna penerima dan sebagainya. Di dalam kes ini pemberi adalah SP1 (bapa angkat plaintif) manakala penerima adalah defenden. Barang yang diberi adalah tanah Plot No. 8, Lot 6. Mukim 18, Daerah Seberang Perai Tengah. Saya juga mendapati rukun yang ketiga, menepati kehendak syarak, antaranya barang tersebut boleh dipindah milik dan sebagainya.

Yang menjadi isu sekarang adalah rukun yang kedua iaitu  akad hibah (ijab dan qabul). Daripada keterangan dokumen yang ditanda sebagai D3 oleh Defendan di Mahkamah ini iaitu surat pemberian tanah oleh SP1 telah membuat ijab, memberi tanah itu kepada Defendan secara bertulis pada 6 Januari 1990. Keterangan defendan didalam keterangan semasa soal utama pula menjelaskan bahawa dia ada mendengar SP1 melafazkan ijab dirumahnya dan juga di Pejabat Peguam Ayasamy seperti berikut:

“ tanah ini ayah beri hang, buatlah rumah”

SD1 menjelaskan pula di dalam keterangan semasa disoal balas bahawa dia ada mendengar SP1 melafazkan ijab di Pejabat A***** seperti berikut:

“ tanah Lot 8 saya beri pada ya”

Kedua-dua keterangan terdapat sedikit percanggahan dari segi lafaz ijab hijab tersebut, tetapi apa yang dapat difahami ijab berlaku dengan tulisan dan lisan. Mengikut kitab Matlak al-Badrain Wa Majmak al-Bahrain, yang dikarang oleh Syeikh Daud Patani, cetakan oleh Matbaah Muhamad Al-Nahdi Wa Awladuhu, Bangkok, Thailand, di muka surat 126 di dalam Bab Hibah dijelaskan seperti berikut :

“ dan syarat hibah ialah ijab dan qabul dengan lafaz seperti kata yang memberi  ملكت هذا  atau      وهبتك هذا  dan berkata yang menerima seperti  قبلت  atau رضيت.”

Di dalam keterangan yang diberikan oleh defendan di dalam Mahkamah ini, tidak pula dijelaskan sama ada Defendan ada melafazkan qabul dengan cara lisan.

SD1  juga tidak ada menjelaskan hal ini. Mahkamah juga tidak membuktikan secara keterangan dokumen qabul  defendan terhadap ijab hibah itu, seperti Peraturan pindah milik borang 14A mengikut kehendak seksyen 215 Kanun Tanah Negara (KTN) 1960, ataupun mana-mana dokumen bertulis yang lain. Di dalam hal ini hakim menyetujui hujah Encik Zawawi bahawa tiada bukti telah berlaku pindah milik kepada defendan mengikut borang 14A, seksyen 215 KTN 1960.

Encik Rosdee Abdul Razak iaitu peguam kepada defenden telah merujuk di dalam kes Eshah bt. Abd Rahman lwn. Azhar Ismail guaman No. MTSTR41-004/95, yang telah diputuskan oleh Y.A. Dato’ Ismail Yahya, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, tidak relevan pada kes ini. Isu kes hampir sama, tetapi fakta berlainan. Fakta kes tersebut jelas telah berlaku pindah milik secara sah mengikut kehendak  borang 14A ada dijelaskan sesuatu tanah itu diberi secara hibah kasih sayang atau dijual dengan balasan wang yang tertentu di mana pihak-pihak ada menurunkan tandatangan di hadapan Pentadbir Tanah, dan ini Mahkamah mengambil kira sebagai ijab qabul yang sah, mengikut kaedah fiqhiyyah    الكتاب كالخاطب  , sekiranya ada, tetapi di dalam kes ini tidak ada yang dikemukakan.

Hukum syarak juga menjelaskan lagi walaupun telah berlaku ijab dan qabul secara sah di dalam sesuatu hibah, pemilikan barang yang dihibah masih belum boleh dimiliki oleh penerima hibah kecuali barang itu telah diserahkan atau diambil atau dipegang oleh penerima hibah. Di dalam kes ini, barang tersebut iaitu tanah telahpun diguna dan diusahakan oleh defendan dengan mendirikan sebuah rumah, seolah-olah dia telah menerima/ mengambil/ memegang tanah tersebut. Walau bagaimanapun, hukum syarak mensyaratkan bahawa pemegangan/ pengambilan barang yang dihibahkan hendaklah dengan izin pemberi hibah, seperti yang diutarakan di dalam kitab Mugni al-Muhtaj, jilid 2, muka surat 400 karangan Imam al-Syarbini al-Katib, cetakan Darul Fikr, Mesir yang disebut yang bermaksud : “ tidak memiliki akan benda yang dihibah itu melainkan qabd dengan izin daripada yang memberinya atau wakilnya” juga seperti di dalam kitab Matlak al-Badrain Wa Majmak al-Bahrain, muka surat 126 seperti berikut :-

“ dan tidak memiliki akan benda yang dihibah itu melainkan qabd dengan izin daripada yang memberinya atau wakilnya”.

Relevannya dengan kes ini, adalah seperti berikut ;-

Pemberian tanah tersebut diberi oleh SP1 kepada defendan di masa perkahwinan mereka berdua masih berterusan . setelah plaintif dan defendan bercerai pada 1994, SP1 telah menarik balik pemberian tanah itu daripada defendan seperti mana dibuktikan di Mahkamah ini melalui keterangan dokumen yang ditandai sebagai “P2” yang bertarikh 1.12.1995, dan memberikan pula tanah itu kepada plaintif.

Di dalam keterangan yang diberikan oleh SP1, beliau menjelaskan, niat sebenarnya memberi tanah itu ialah kepada plaintif bukan kepada defendan. Beliau tidak tahu langsung kenapa defendan membuat proses tukar nama ke atas dirinya sendiri, tidak dimasukkan nama plaintif. Disebabkan itulah, SP1 telah membuat surat yang ditanda sebagai P2 itu untuk menarik balik apa yang diberi kepada defendan. Keterangan dokumen yang bertanda sebagai P3 iaitu surat daripada peguam Ayasamy pula mengesahkan P2.

Keterangan-keterangan ini telah membuktikan bahawa pemberi hibah iaitu SP1 belum lagi memberi izin kepada penerima hibah iaitu defendan untuk mengambil dan memiliki tanah tersebut. Bermakna penggunaan tanah tersebut oleh Defendan sekarang ini adalah tanpa izin SP1.

Juga jika diperhatikan secara teliti, qasad/ niat pemberi hibah di dalam kes ini semasa dia membuat hibah ialah kepada plaintif bukan defendan. Di dalam kitab Mugni al-Muhtaj, jilid 2, muka surat 400 yang dirujuk oleh hakim, diperjelaskan lebih lanjut akan hal ini :

“ sekiranya berselisih keduanya antara pemberi dengan penerima hibah pada keizinan pada penerima (qabd) barang hibah, maka hendaklah diterima kata-kata pemberi hibah. Sekiranya telah diterima barang itu oleh penerima hibah dan berkata pemberi hibah “ aku berqasad dengan barang itu sebagai sewaan ataupun sebagainya….. tetapi diingkari oleh penerima hibah, maka hendaklah diterima kata-kata pemberi hibah”.

Maka, terbuktilah sekarang bahawa rukun hibah yang kedua belum terlaksana, sebelum sempurna. Ketidaksempurnaan rukun hibah yang kedua ini, menyebabkan tidak sahnya hibah tersebut.

Oleh itu, terjawablah sekarang isu yang pertama di dalam kes ini iaitu rukun hibah belum sempurna dan saya memutuskan hibah tersebut tidak sah mengikut hukum syarak.



Ulasan :

Dalam mengupas isu kedua, saya bersetuju dengan penghakiman hakim di dalam kes ini di mana rukun hibah belum lagi sempurna. Di dalam hal ini, seperti yang dinyatakan oleh hakim, rukun-rukun hibah adalah penting dalam menentukan kesahan sesuatu hibah. Hakim telah menjelaskan bahawa tidak wujud penerimaan (al-qabd) di dalam kes ini oleh pihak defendan walaupun SP 1 telah menyatakan ijab. Dalam menjelaskan hal ini dengan lebih lanjut, saya ingin memetik pendapat menerusi kitab Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyatakan tentang syarat hibah diantaranya adalah penerimaan.

Menurut ulama’ mazhab hanafi dan Ibn Aqil daripada mazhab hanbali menerima barang adalah termasuk dalam rukun hibah. Penerimaan barang di dalam hibah bermaksud bahawa barang hibah dalam keadaan diterima dan dipegang. Oleh itu, pemilihan barang kepada penerima tidak lagi pasti sebelum berlaku penerimaan barang, malah hibah tidak akan berlaku melainkan ada penerimaan.

Para ulama’ telah berselisih pendapat berkaitan dengan penerimaan adakah ianya merupakan syarat hibah atau tidak.

1.      Ulama’ mazhab syafie’ dan hanafi[10] berpendapat penerimaan adalah syarat yang mesti kepada hibah. Ini berdasarkan dalil kisah yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah r.a bahawa bapanya (Abu Bakar Al-siddiq) memberikannya hadiah sebanyak 20 wasq (1200 gantang kerana 1 wasq bersamaan dengan 60 gantang). Ketika bapanya sedang nazak beliau berkata, “ wahai anakku, sesungguhnya kamu adalah orang yang paling disukai selepasku dan kamu juga dimuliakan kemiskinan selepasku. Aku mahu memberikan harta ini kepadamu sebanyak 20 wasaq, jikalau kamu mengambil dan menjaganya dengan baik, maka harta itu untukmu dan hari ini ia dikenali sebagai harta pusaka. (janganlah kamu lupa) pada dua saudara lelaki dan perempuanmu, bahagi-bahagikanlah harta dengan nama kitab Allah.” Aisyah berkata, “ bahagian ini untuk saudara lelakiku. Siapa pula saudara perempuanku, dia ialah Asma’, siapa lagi?” kata Abu Bakar, “ Zu Batni ( yang mempunyai perut) binti Kharijah, aku menganggapnya sebagai khadam perempuan.”[11]

Nas ini menjelaskan tentang syarat penerimaan untuk mengesahkan pemberian. Pemberian     barang dapat dipunyai dengan penerimaan, seperti kata Abu Bakar tadi. “ jikalau kamu mengambil dan menjaga dengan baikharta itu adalah untukmu.” Kata Umar r.a.: lelaki yang memberi harta kepada anak-anaknya, kemudian mereka memegang atau menerima harta kepada anak-anaknya, kemudian mereka memegang dan menerima harta-harta itu.

2.      Mazhab hanafi pula pernah berkata tentang dua riwayat daripada Ahmad yang lebih kuat iaitu “ penerimaan adalah syarat sah pemberian pada barang yang disukat dan diukur atau ditimangkan berdasarkan ijmak sahabat dalam perkara ini. “ nyatalah bahawa maksudd penerimaan sebagai syarat sah ialah syarat yang mesti untuk melengkapkan pemberian berdasarkan kata-kata Ibn Qudamah, “ sesungguhnya barang yang disukat dan ditimbang tidak dapat menyempurnakan, sedekah dan pemberian melainkan dengan adanya penerimaan, yang juga merupakan pendapat fuqaha’.”

Manakala bagi barang yang bukan disukat dan ditimbang, perkara yang menyempurnakan pemberian itu hanya dengan aqad sahaja dan memastikan pemilikan barang pemberian sebelum berlaku penerimaan lagi. Ini berdasarkan riwayat daripada Saidina ‘Ali dan Ibn Mas’ud r.a. bahawa kedua-duanya telah berkata, “ pemberian menjadi harus jika diketahui sama ada telah diterima atau tidak.”

3.      Ulama’ mazhab Maliki pula berkata, “ pemberian tidak menjadi syarat kepada sahnya pemberian, dan bukanlah kemestian untuk menyempurnakan pemberian. Ia hanya syarat kepada penyempurnaan pemberian iaitu untuk melengkapkan faedah pemberian.” Ini bermakna barang pemberian dapat dimiliki hanya cukup dengan akad iaitu dengan kata-kata, menurut pendapat yang terkenal di sisi mereka. Penerimaan dan pemegangan barang adalah untuk menyempurnakan pemberian itu. Pemberi pula hendaklah memastikan barang itu sampai kepada penerima. Dalil mereka ialah dengan membandingkan pemberian dengan jual beli dan lainnya daripada jenis pemindahan milik dan juga berdasarkan kata sahabat iaitu “ pemberian menjadi harus jika diketahui sama ada telah diterima barang itu atau tidak.[12]
Kesimpulannya, ulama’ selain Mazhab Maliki berpendapat bahawa barang pemberian dapat dimiliki dengan penerimaan, bukan dengan ‘akad, sedangkan bagi mazhab Maliki barang itu dapat dimiliki dengan ‘akad walaupun belum berlaku penerimaan.

Berdasarkan buku karangan Asaf Ali Asghar Fyzee yang bertajuk Outlines of Muhammadan Law membincangkan tentang syarat penyerahan milikan hibah. Penyerahan harta hibah daripada penghibah kepada penerima adalah salah satu kompenan terpenting dalam hibah. Selepasa penghibah melafazkan ijab, beliau hendaklah dengan serta merta menyerahkan (deliver) serta mengizinkan harta hibah diterima dan diambil milik oleh penerima. Hibah belum berlaku jika tidak wujud penerimaan dengan izin penghibah. Oleh itu, menyerahkan surat hak milik atau sijil saham dan sebagainya dan menyerahkan anak kunci rumah adalah menjadi alat serahan. Jika asset adalah harta alih seperti saham, kenderaan, dan sebagainya, maka penyerahan dokumen berkaitan serta menandatangani dokumen sighah, surat ikatan amanah dan borang pindah milik adalah penting sebagai tanda penyerahan oleh hibah. Penyerahan harta hibah boleh dengan sebenar atau constructive/simbolik. Jika harta hibah belum diterima dan diambil milikan oleh penerima, hibah pada masa itu belum lengkap dan harus bagi penghibah untuk mengambil semula atau membatalkan proses hibah itu.

Bagi syarat penerimaan dan mengambil milikan pula, beliau berpendapat mangambil milikan harta juga merupakan satu komponen terpenting dalam pelaksanaan hibah. Tanpa mengambil milikan hibah belum berlaku walaupun lima rukun hibah yang lain telah dilaksanakan kerana ia boleh dianggap penerima ‘ menolak’ hibah itu. Mengambil milikan boleh dengan fizikal/sebenar (actual) atau konstruktif (constructive). Bermaksud “ not directly expressed; inferred”. Mengikut kamus inggeris – melayu Dewan maksudnya, “ tidak secara terus terang/ secara jelas” atau “ dengan membuat kesimpulan”. Mengambil fahaman daripada ungkapan ini, harta hibah tidak perlu terus didaftarkan ke atas nama penerima dengan serta merta. Ia boleh didaftarkan keatas nama wakil seperti pemegang amanah. Secara fizikalnya, penerima perlu menerima serta mengambil milikan, misalnya geran tanah, sijil saham, kad pendaftaran kereta atau anak kunci rumah.

Bagaimanapun ada beberapa pengecualian tentang pemindahan dan mengambil milikan. Dalam situasi berikut, mengambil milikan tidak diperlukan, iaitu penghibah dan penerima tinggal di dalam sebuah rumah; hibah antara suami isteri; hibah antara anak-beranak; hibah oleh penjaga kepada penerima dan sebagainya.[13]

Dalam fiqah, syarat lafaz hibah tidaklah terlalu ketat, sah hibah sekiranya lafaz tersebut merujuk kepada makna hibah seperti perkataan serah, ambil dan sebagainya. Begitu juga ulama’ berpendapat bahawa sah hibah tersebut hanya melalui perbuatan atau Mu’atah tanpa lafaz. Oleh yang demikian, hibah yang dibuat tanpa lafaz ijab, maka semuanya dibuat tanpa lafaz ijab, maka ianya bergantung kepada niat pemberi hibah. Namun begitu, bagi mengelakkan kekeliruan, pemberi perlu memgemukakan lafaz hibah tersebut. Begitu juga halnya dengan qabul bagi penerima hibah. Hal ini boleh di lihat di dalam keputusan kes Harun bin Muda dan lain-lain lawan Mandak bin Mamat dan kes Muhammad bin Awang lawan Awang bin Deraman yang menyatakan hibah sah tanpa perlu ada lafaz qabul.

Walaubagaimanapun, sekiranya dilihat undang-undang di Negara Islam yang lain seperti di Mesir dan Jordan mensyaratkan hibah hanya sah apabila berlakunya ijab dan qabul ( undang-undang Sivil Mesir 1949 (no.43) perkara 558). Manakala  di dalam Kompilasi Hukum Islam Indonesia 1991 mensyaratkan hanya donor yang berumur 21 tahun boleh membuat hibah di hadapan 2 orang saksi (pasal 210 sub 1)[14]



ISU 3 : boleh atau tidak hibah ditarik balik

Dalam menjawab isu kedua, boleh atau tidak hibah ditarik balik. Di dalam kes ini perkara tersebut tidak berbangkit lagi kerana isu pokok telah dijelaskan, hibah tidak sah, maka saya putuskan tidak berlaku apa-apa penarikan balik hibah.

Walau bagaimanapun, hakim di dalam kes ini menjelaskan sedikit berkaitan dengan penarikan balik hibah dalam hukum syarak. Di dalam kitab Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, karangan Dr. Wahbah al-Zuhaili, jilid 5 di muka surat 28-29, cetakan Daral-Fikr, Damsyik, Syria tahun 1989, diperjelaskan bahawa hibah tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh seorang bapa kepada anaknya. Ini bersandarkan kepada sebuah hadith yang bermaksud:

“ tidak halal bagi seseorang lelaki yang telah memberi satu pemberian atau telah menghibah satu hibah maka dia menarik balik apa yang diberi/ dihibah, kecuali penarikan balik oleh bapa terhadap pemberian yang diberi kepada anaknya,”
(riwayat al-Tirmizi)

Bapa boleh menarik balik pemberian atau hibah ke atas anaknya, termasuk juga hadiah dan sedekah. Antara syarat yang dibolehkan menarik balik hibah tersebut ialah barang yang dihibah masih dalam milik anaknya. Oleh itu ditegah menarik balik barang yang telah hilang kuasa milik anak tersebut seperti dia telah menjualkannya atau diwakafkannya.

Walaubagaimanapun, hibah di dalam kes ini tidak terlaksanakan disebabkan tidak sempurnanya rukun hibah. Oleh itu, tidak timbul isu kedua, akan tetapi, hakim telah menghuraikan serba sedikit berkaitan dengan isu kedua untuk pengetahuan di masa hadapan.

Ulasan :

Hibah apabila sudah sempurna tidak boleh di tarik balik atau dibatalkan. Melainkan hibah yang diberikan oleh seorang ayah kepada anak-anaknya. Dalam mazhab syafie penerangan hak untuk membatalkan hibah ini diberikan oleh al-Ghazzi dalam hasyiahnya kepada matan Abi Syuja’ dengan katanya: “ apabila penerima hibah sudah mengambil harta hibah, maka wahib tidak boleh lagi menarik balik hibah tersebut melainkan ianya adalah seorang bapa”. Sebahagian ulama’ menyatakan maksud bapa di sini adalah termasuk ibu, datuk dan nenek.

Di dalam kes ini tidak berlaku isu berkaitan dengan penarikan balik hibah kerana hibah tersebut adalah ditujukan kepada Pihak plaintif iaitu Salmiah Bt Che Hat, dan bukannya kepada defendan.
Sekiranya hibah tersebut berlaku dan pihak pemberi hibah ingin menarik balik hibah yang dilakukan keatas palintif, maka, hibah itu tidak boleh ditarik balik kerana hibah tersebut dilakukan diantara bapa angkat dan anak angkat sedangkan hadis tersebut merujuk kepada mereka yang mempunyai pertalian darah dengan si penghibah.

ISU 4 : Apakah harta tersebut telah menjadi milik sempurna Plaintif atau Defendan?

Di dalam menghuraikan isu ke 4, setelah jelas keterangan yang dikemukakan oleh kedua belah pihak, rukun-rukun hibah tersebut adalah tidak berlaku kerana qabd yang dilakukan oleh pihak defenden adalah tanpa keizinan SP1. Hal ini berdasarkan keterangan beliau dimana, harta tersebut pada asalnya dihibahkan kepada anak angkat beliau iaitu Plaintif di dalam kes ini, oleh itu, hakim telah memutuskan bahawa harta tanah tersebut dalah milik sepenuhnya plaintif.

Keputusan

Berdasarkan alasan-alasan yang telah dikemukakan oleh hakim, hakim membenarkan tuntutan plaintif dan mengisytiharkan bahwa

1)      Tanah di plot 8, lot 6. Mukim 18, Daerah Seberang Perai Tengah adalah hak milik sepenuhnya SP1 dan
2)       Beliau berhak memberi hak miliknya kepada plaintif dan akan menjadi milik yang sah kepada palintif apabila terlaksana rukun hibah yang telah dibincangkan dalam penghakiman ini.


ANALISIS

Setelah meneliti kes ini secara terperinci, saya mendapati kes ini adalah berkaitan tentang kesahan sesuatu  hibah  berdasarkan pelaksanaan dalam penyempurnaan rukun-rukun hibah. Apa yang menjadi perbincangan di dalam kes ini adalah berkaitan dengan sighah hibah iaitu ijab dan qabul. Syarat sighah iaitu ijab telah di lafazkan oleh pemberi hibah kepada penerima, akan tetapi belum wujud penerimaan di pihak al-mawhub lahu dari segi lafaz mahupun bertulis. Berdasarkan kes Mahkamah Agung Tengku Haji Jaafar Ibn Almarhum Tengku Muda Ali & Anor lwn. Government of Pahang [ 1987] 2 MLJ 74. Mahkamah memutuskan bahawa untuk membentukkan sebuah akad hibah yang sah dan berkuatkuasa mesti memenuhi tiga keperluan iaitu ijab, qabul dan mengambil pemunyaan harta hibah. Namun timbul khilaf dimana terdapat kes di Malaysia yang membolehkan penerimaan hibah tanpa disertai oleh lafaz penerimaan. Sebagai contoh kes Muhammad bin Awang dan lain-lain Awang bin Deraman dan lain-lain [2001]XIV : II JH 165, Lembaga Rayuan Syariah Kelantan berpendapat ketiadaan lafaz ijab dan qabul tidak membatalkan sesuatu pemberian kerana ia boleh dianggap sebagai hadiah.

 Berlainan pula dengan kes ini, boleh dilihat dimana hakim memutuskan bahawa sesuatu syarat hibah tidak sah melainkan dengan adanya penerimaan di pihak yang menerima hibah mesti dalam bentuk lafaz. Hal ini juga ada disebut di dalam kitab-kitab turath dan ulama’ kontemporari masa kini. Berhubungan dengan penerimaan qabul hibah mengikut Sheikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari dalam kitab Fath al-Muin Sharah Quran al-ain merujuk kepada kitab I’aanah al-Talibin, jil 3, halaman 142 dan 143 menjelaskan bahawa ianya boleh berlaku dengan perkataan seperti ‘aku terima dan aku redha’. Ia juga boleh berlaku dengan cara tulisan seperti ‘bagi engkau ini’ dan boleh dengan cara beri dan ambil dan ada kalanya tidak disyaratkan berlafaz seperti dia menghiaskan anak kecilnya dengan perkakas emas.[15]

Dari sudut dokumentasi pula, pihak defenden di dalam kes ini telah gagal mengemukakan bukti secara keterangan dokumen qabul defenden terhadap ijab hibah itu, seperti peraturan pindah milik borang 14A mengikut kehendak seksyen 215 Kanun Tanah Negara (KTN) 1960, ataupun mana-mana dokumen bertulis yang lain. Ini adalah bertepatan dengan penghakiman Y.A Dato’ Ismail Yahya di dalam kes Eshah bt Abd. Rahman lwn. Azhar Ismail di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu yang menyatakan di dalam fakta kes tersebut telah jelas berlaku pindah milik secara sah mengikut kehendak borang 14A seksyen 215 KTN 1960, di mana di dalam borang 14A ada dijelaskan sesuatu tanah itu diberi secara hibah kasih sayang atau dijual dengan balasan wang yang tertentu di mana pihak-pihak ada menurunkan tandatangan di hadapan pentadbir tanah, dan dengan ini mahkamah telah mengambilkira sebagai ijab qabul yang sah.

Akan tetapi peruntukan di Malaysia tidak berapa memberi  penekanan terhadap konsep hibah, khususnya dari segi rukun hibah. Perundangan di Malaysia hanya banyak menyentuh berkaitan bidangkuasa Mahkamah Syariah sahaja di dalam membicarakan kes berkaitan dengan pemberian. Satu undang-undang perlu digubal bagi menyusun sistem hibah dari sudut rukun hibah, syarat-syarat serta dokumentasi hibah.

Selain itu, saya dapati di dalam kes ini juga telah timbul percanggahan diantara keterangan dari sudut lafaz hibah yang dilakukan oleh SP1.  Di mana, Keterangan defendan didalam keterangan semasa soal utama pula menjelaskan bahawa dia ada mendengar SP1 melafazkan ijab dirumahnya dan juga di Pejabat Peguam Ayasamy seperti berikut:

“ tanah ini ayah beri hang, buatlah rumah”

SD1 iaitu Jamilah bt. Hashim menjelaskan pula di dalam keterangan semasa disoal balas bahawa dia ada mendengar SP1 melafazkan ijab di Pejabat Ayasamy seperti berikut:

“ tanah Lot 8 saya beri pada ya”

Oleh itu, timbul percanggahan dari segi keterangan lafaz yang diucapakan oleh saksi-saksi. Dalam menyelesaikan permasalahan ini, bagi membuktikan kebenaran yang dilakukan oleh saksi kedua belah pihak, sekiranya berlaku isu seperti ini, mengikut hukum syarak, keterangan yang dilakukan oleh pihak yang memberi hibah adalah terpakai dan lebih kuat berbanding pihak yang satu lagi. Hal ini kerana, pemberian hibah itu adalah tergantung kepada niat si pemberi hibah.



KESIMPULAN DAN CADANGAN
Secara keseluruhannya, boleh disimpulkan bahawa rukun hibah adalah perlu dipenuhi terlebih dahulu dalam menentukan kesahan sesuatu hibah. Hibah merupakan suatu pemberian daripada pemberi kepada penerima hibah atas rasa kasih sayang semasa hayat pemilik harta. Rukun hibah tidaklah terlalu spesifik jika dibandingkan dengan wasiat dan wakaf. Hal ini kerana ianya merupakan kerelaan daripada si pemberi hibah untuk menyerahkan hartanya kepada insan yang dihibahkan harta tersebut. Masalah yang sering dikenalpasti dalam menentukan kesahan sesuatu hibah adalah berkaitan tentang sighah hibah yang merangkumi ijab dan qabul. Malahan ulama’ juga khilaf di dalam masalah ini.

Dalam konteks masyarakat Malaysia hari ini, saya ingin mencadangkan agar satu Enakmen khas hibah perlu diwujudkan sepertimana Enakmen wakaf dan wasiat yang telah digubal bagi memudahkan Hakim untuk menghakimi sesuatu kes dan bagi menyeragamkan undang-undang hibah diseluruh negeri di Malaysia. Hal ini kerana, sekiranya terperhalusi berkaitan dengan peruntukan hibah hari ini, bukanlah secara langsung membicarakan berkaitan dengan hibah. Sebagai contoh di dalam perlembagaan persekutuan, hibah ditakrifkan sebagai pemberian manakala di bawah enakmen negeri-negeri pula, hibah dikenali sebagai alang. Oleh itu, satu penyeragaman diperlukan bagi memastikan konsep hibah dapat difahami secara jelas dan menyeluruh, dan memudahkan pemahaman bagi mengelakkan kekeliruan kepada para hakim dan para peguam khususnya peguam bukan islam berkaitan dengan konsep hibah yang sebenar dalam islam. Ini juga perlu untuk membezakan diantara hibah, sedekah dan hadiah.

Selain itu, saya juga ingin mencadangkan agar setiap hibah perlu didaftarkan dan didokumenkan di Majlis Agama sepertimana wakaf di Malaysia agar dapat mengelakkan salah faham diantara pemberi dan penerima hibah pada masa akan datang. Hal ini adalah penting bagi menjaga kemaslahatan harta supaya mudah harta pemberi itu dibahagi-bahagikan selepas kematian. Ini juga adalah penting untuk diketahui oleh para pewaris pemberi harta tersebut agar tidak timbul kekeliruan pada masa akan datang. Saya menganggap hal ini samalah seperti suruhan untuk menulis hutang yang disebut di dalam surah al-Baqarah ayat 282 yang bermaksud: “ Wahai orang-orang Yang beriman! apabila kamu menjalankan sesuatu urusan Dengan hutang piutang Yang diberi tempoh hingga ke suatu masa Yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya)….”

Pada zaman yang serba moden hari ini, dapatlah dilihat banyak daripada syarikat-syarikat dan agensi-agensi pengurusan harta yang mengambil pendekatan dalam pengurusan hibah khususnya dalam kes yang berkaitan dengan pengamanahan hibah. Oleh itu, langkah-langkah sebegini perlu diteruskan di masa hadapan agar pengurusan hibah akan lebih efisyen dan sistematik serta memudahkan orang ramai. Hal ini kerana, jika dilihat dari segi maslahah zaman ini, usaha sebegini penting bagi mengelakkan pertelingkahan dalam pembahagian harta pusaka selepas kematian pemberi hibah. Hal ini juga selaras dengan konsep sebenar hibah yang bertujuan untuk memberikan sesuatu pemberian atas dasar kasih sayang, oleh yang demikian, adalah tidak elok sekiranya para waris bertelingkah terhadap harta yang hibahkan kepada orang lain.















RUJUKAN

1.      Wahbah Zuhaili. (1996). Fiqh Dan Perundangan Islam, jil V, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
2.      Asaf Ali Asghar Fyzee. (1993). Outlines of Muhammadan Law, oxford University Press, Delhi.
3.      Ahmad Hidayat Buang (2007). Undang-undang Islam Di Malaysia, Penerbitan Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
4.      Rizalman Muhammad dan Ishak Suliaman (2007). Wasiat Dan Hibah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
6.      Zaleha Kamaruddin dan Raihanah Abdullah (2002).Kamus Istilah Undang-undang Keluarga Islam, Zebra Eition Sdn Bhd, cetakan 1, Kuala Lumpur.
7.      Siti Mashitoh Mahamood. ( 2008). Harta Amanah Orang Islam Di Malaysia, cetakan ke-2, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
8.      Jurnal Hukum
9.      Perlembagaan Persekutuan


[1] Jamal al-Din Taha al-‘Aqil (1978), ‘Aqad al-Hibah al-Fiqh al-Islami Wa al-Qanun al-Madani, Kaherah, Dar al- Huda, h.11 dalam Rizalman Muhammad dan Ishak Suliaman (2008). Wasiat dan Hibah,Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, h. 24
[2] Ibn Manzur (t.t), Lisan al-‘Arab,j.1, cet 1, Beirut, Dar Sadir, h. 24 dalam ibid
[3] Al-Imam Muhammad bin Ismail al-Sanaani (1992), Subul al-Salam Sharh Bulugh al-Maram min Jam’Adillah al-Ahkam, j.3, Beirut, Al-Maktabah al-‘Asriyyah, h.156 dalam ibid h. 25
[4] Jamal al-Din Taha al-‘Aqil (1978), ‘Aqad al-Hibah al-Fiqh al-Islami Wa al-Qanun al-Madani, Kaherah, Dar al- Huda, h.11 dalam Rizalman Muhammad dan Ishak Suliaman (2008). Wasiat dan Hibah,Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, h. 25
[5] Mustafa al-Khin, et al. (2000), Al-Fiqh al-Manhaji  ‘ala Madhahib al-Imam al-Shafii, j.2, Damsyik, Dar al-Qalam, h.101, dalam ibid h. 25
[6] Lihat Fath al-Qadir, jil v, hlm.74;al-Furuq oleh al-Qarafi,jil III, hlm 208 dan seterusnya.
[7] Ulama’ hanafi menharuskan penggantian harta tanah wakaf demi keperluan dan maslahat. Mereka berkata bahawa seorang hakim yang bijak dan adil diharuskan menegluarkan keizinan menggantikan tanah wakaf, dengan syarat :a) manfaatnya boleh dipindahkan keseluruhannya, b) ia tidak menghasilkan apa-apa sewaan, c)penjualannay atau pertukarannya tidak terlalu merugikan, dan d) hendaklah gantiannya dalam bentuk harta tak alih juga tidak dalam bentuk wang seperti dirham dan dinar (al-Durr al Mukhtar wa Radd al-Mukhtar, jil.III, hlm 425
[8] Wahbah Zuhaili. (1996). Fiqh Dan Perundangan Islam, jil V, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, hlm. 1-2
[9] Al-Qawanin al-Fiqhiyyah, hlm .102; al-syarh al- Kabir ma’a al-Dusuqi, jil 1, hlm 486 dan seterusnya.
[10] Hadith mursal riwayat Malik dalam al-Muwatta’ daripada ‘Amru bin yahya daripada bapanya; hadith ini juga diriwayatkan oleh Ahmad dalam musnadnya; dan diriwayatkan juga oleh Ibn Majah dan Daruqutni dalam sunan mereka bersanadkan daripada Abu Sai’d al-Khudri.
[11]  Riwayat Muslim, Malik, Ahmad dan Ibn Majah ( Syarah Muslim, jil 11, h. 47)
[12] Lihat al-Takaful al-Ijtima’I oleh Muhammad Abu Zahrah, h.29 dan seterusnya.
[13] Asaf Ali Asghar Fyzee. (1993). Outlines of Muhammadan Law, oxford University Press, Delhi.
[14][14] Ahmad Hidayat Buang, Prinsip dan Pelaksanaan hibah dlm. Ahmad Hidayat Buang. ( 2007). Undang-undang Islam Di Malaysia: Prinsip dan Amalan, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, h. 330-333.
[15]  Rusnadewi Abdul  Rashid dan Noor Inayah Bt Yaakub , Hibah : Isu Pindah Milik Dan Pembatalan Hibah Hartatanah Di Bawah Kanun Tanah Negara, Rusnadewi Abdul  dalam Shariah Law Reports [2010]1 ShLR, h.18

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...