Wednesday, February 8, 2012

kes tuntutan nafkah isteri dan anak

gambar ehsan dari google


KES TUNTUTAN NAFKAH ISTERI DAN ANAK

JURNAL HUKUM 30 (1) 111 2008
KES RAYUAN MAL BIL : 14500-024-0010-2007 DAN  15400-018-0011-2007

1.                 PENDAHULUAN

Kes ini merupakan kes Rayuan Mal berkaitan dengan tuntutan nafkah isteri bernombor 14500-024-0010-2007 dan tuntutan nafkah anak bernombor 14500-018-0011-2007. Kes ini telah didengar oleh Y.A Mohamad Shakir Bin Abdul Hamid, HMTS pada 13hb RabiulAwal 1429H bersamaan 21hb Mac 2008.

Sebelum ini, perayu iaitu pernah memfailkan permohonan nafkah isteri dan anak di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur terhadap Responden . Walaubagaimanapun, permohonan perayu telah ditolak oleh Mahkamah dan perayu telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan berhubung dengan keputusan kedua-dua kes tersebut.

Undang-undang utama yang digunapakai di dalam kes ini adalah seksyen 59 (nafkah isteri), seksyen 72 (nafkah anak) dan seksyen 61 (kadar nafkah)  Akta Undang-undang keluarga islam 1984.


2.     FAKTA KES

1.       Plaintif/ perayu dan Responden telah bernikah pada 16 Disember 2002 di Majlis Agama Islam Wilayah Songkla Thailand dan pernikahan tersebut telah disahkan serta dibenarkan pendaftarannya oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan melalui perintah bernombor 142002-101-0349-2005 bertarikh 26 julai 2005. Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan anak lelaki.

2.       Pada 8/9/2005, plaintif/ perayu telah memfailkan tuntutan nafkah isteri dan anak melalui kes mal bilangan 14004-018-0417-2005 dan 14004-024-0416-2005.

3.       Dalam kes mal bilangan 14004-018-0417-2005, berhubung dengan tuntutan nafkah isteri, plaintif/ perayu menuntut bagi mendapatkan perintah-perintah berikut:

i)                    Bahawa responden diperintahkan membayar nafkah perayu sebanyak RM 2500.00 mengikut peruntukan seksyen  59(1) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984
ii)                   Bahawa responden diperintahkan membayar perbelanjaan perayu bagi setiap perayaan Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha sebanyak RM500.00 untuk anak-anak tersebut bagi persiapan.
iii)                 Bahawa pembayaran di perenggan 1 dan 2 di atas hendaklah dibuat dengan perintah Tahanan Pendapatan Tenaga (potongan gaji) Responden setiap bulan dan dimasukkan ke dalam akaun Maybank perayu No: 164017-084575 pada atau sebelum 7 haribulan setiap bulan

4.       Dalam kes mal bilangan 14004-024-0416-2005, berhubung dengan tuntutan nafkah anak, palintif/perayu menuntut bagi mendapatkan perintah-perintah berikut:-

i)                    Bahawa responden diperintahkan membayar nafkah anak sebanyak RM500.00 mengikut peruntukan seksyen 72 Akta Undang-undang Keluarga Islam ( Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984
ii)                   Bahawa responden diperintahkan memperuntukan sebanyak RM200.00 untuk anak-anak tersebut bagi persiapan Hari Raya Aidil Fitri dan begitu juga dengan Hari Raya Aidil Adha.
iii)                 Bahawa pembayaran di perenggan 1 dan 2 diatas hendaklah dibuat dengan perintah Tahanan Pendapatan Tenaga (potongan gaji) responden setiap bulan dan dimasukkan ke dalam akaun Maybank perayu No: 164017-084575 atau sebelum 7 haribulan setiap bulan.

5.       Kedua-dua kes tersebut telah dijalankan serentak tanpa kehadiran defenden/responden setelah saman kepada defnden/responden disempurnakan secara ke diri.

6.       Semasa perbicaraan, plaintif/perayu telah memberikan keterangan dan mengemukakan dua orang saksi iaitu bapa dan abangnya.

7.       Di akhir perbicaraan hakim Mahkamah Rendah telah menolak tuntutan plaintif. Selanjutnya plaintif telah memfailkan rayuan berhubung dengan keputusan trsebut.
Alasan Rayuan

1.       Alasan rayuan perayu bagi kes tuntutan nafkah isteri iaitu seperti berikut :-
i)                    Yang  Arif Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan telah terkhilaf apabila tidak mengambil kira beban dan tanggungan oleh perayu sebelum mengeluarkan perintah tersebut.
ii)                   Yang Arif Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira faktor kewajipan dan tanggungjawab responden untuk menyediakan nafkah diri terhadap perayu.
iii)                 Yang Arif Hakim Mahkamah Rendah telah terkhilaf dalam penghakimannya apabila tidak mengambil kira bayaran telefon, astro dan kereta sebagai merangkumi keperluan sampingan tempat tinggal yang patut dibayar oleh responden sebagai nafkah diri perayu.
iv)                 Yang Arif Hakim Mahkamah Rendah telah terkhilaf apabila menyatakan keterangan perayu  lebih berkisar kepada masalah pinjaman rumah dan kenderaan adalah tidak berkaitan dengann tuntutan nafkah diri perayu sedangkan masalah-masalah tersbut timbul rentetan daripada sikap cuai dan abai responden sendiri.
v)                  Yang Arif telah terkhilaf apabila gagal mengenal pasti beban tanggungan yang dihadapi perayu berpunca daripada kegagalan responden membayar nafkah diri perayu sebagai isteri responden yang sah.
vi)                 Yang Arif Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan telah terkhilaf apabila tidak mengambil salinan slip gaji respinden sebagai bukti dan qarinah yang jelas keada kemampuan responden. Dua salinan gaji responden adalah bukti kemampuan responden dan bukti kepada keterangan perayu bahawa responden masih bekerja di tempat yang sama.
vii)               Yang Arif telah terkhilaf apabila tidak menggunakan budi bicara untuk menentukan jumlah nafkah diri yang munasabah dan / atau layak diberikan kepada perayu, sebaliknya terus menolak tuntutan perayu.
viii)              Yang Arif telah terkhilaf apabila tidak mengambil kira kegagalan responden hadir walaupun saman dan penyata tuntutan bertarikh 8 september 2005 telah disampaikan adalah qarinah kepada persetujuan responden terhadap permohonan perayu dan sikap responden tidak hadir ke Mahkamah untuk membela diri jelas menunjukkan sikap cuai dan abai responden.
ix)                 Yang Arif telah terkhilaf kerana tidak menasihati perayu supaya mengemukakan lafaz sumpah atas segala alasan dan tuntutan yang dibuat oleh perayu sedangkan Yang Arif berkuasa untuk meminta perayu bersumpah di hadapan mahkamah.

2.       Alasan rayuan perayu bagi kes tuntutan nafkah anak iaitu seperti berikut:-
i)                    Yang Arif Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan telah terkhilaf apabila tidak mengambil kira beban dan tanggungan yang ditanggung oleh perayu sebelum mengeluarkan perintah tersebut.
ii)                   Yang Arif telah terkhilaf apabila gagal mengambil kira faktor kewajipan dan tanggungjawab responden untuk menyediakan nafkah anak bernama Salahuddin Ashraf
iii)                 Yang Arif telah terkhilaf apabila menyatakan keterangan perayu lebih berkisar keada masalah pinjaman rumah dan kenderaan adalah tidak berkaitan dengan tuntutan nafkah yang timbul rentetan daripada sikap cuai dan abai responden sendiri.
iv)                 Yang Arif telah terkhilaf apabila tidak mengambil slip gaji responden sebagai bukti dan qarinah yang jelas kepada kemampuan responden. Dua salinan gaji responden adalah bukti kemampuan responden dan bukti kepada keterangan perayu bahwa responden masih bekerja di tempat yang sama.
v)                  Yang Arif telah tekhilaf apabila tidak megambil kira kegagalan responden hadir walaupun  saman dan penyata tuntutan bertarikh 8hb September 2005 telah disampaikan adalah qarinah kepada persetujuan responden tidak hadir ke mahkamah untuk membela diri jelas menunjukkan sikap cuai dan abai responden.
vi)                 Yang  Arif telah terkhilaf apabila tidak menggunakan budi bicara untuk menentukan jumlah nafkah anak bernama Salahuddin Ashraf yang munasabah dan/atau layak diberikan kepada perayu, sebaliknya terus menolak tuntutan perayu.
vii)               Yang  Arif telah terkhilaf kerana tidak menasihati perayu supaya mengemukakan lafaz sumpah atas segala alasan dan tuntutan yang dibuat oleh perayu sedangkan yang arif berkuasa untuk meminta perayu bersumpah dihadapan Mahkamah.


3. ISU KES

1.       Sama ada Hakim Mahkamah Rendah Syariah telah mengambil kira tentang kecuaian dan kegagalan responden untuk menyediakan nafkah isteri dan anak
2.       Sama ada Hakim Mahkamah Rendah Syariah telah mengambil kira tentang keperluan nafkah isteri dan anak.



4. ALASAN PENGHAKIMAN.

ISU 1

Responden telah gagal hadir tanpa sebarang alasan walaupun saman telah diserahkan secara ke diri. Oleh itu hakim telah memutuskan kes ini untuk dibicarakan secara sebelah pihak berdasarkan peruntukan seksyen 121 (b) ATMMS yang memperuntukkan

(1)    Jika apabila mana-mana tindakan di panggil untuk pendengaran;-
(a)…
(b) defenden tidak hadir, mahkamah boleh, tertakhluk kepada bukti penyampaian wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa keehadirannya ;

Hakim juga ada memberi komen berhubung pemakaian peruntukan ini dengan menyatakan bahawa peguam perayu tidak berminat menggunakan seksyen 51 ATMMS wilayah persekutuan 1998 yang menjimatkan masa perbicaraan sekiranya responden dapat ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Tetapi hakim memutuskan pemakaian seksyen 121(b) adalah lebih relevan kerana ianya melibatkan tuntutan nafkah isteri dan anak yang sememangnya merupakan tanggungjawab seorang suami untuk menunaikannya.
Beban pembuktian di dalam kes ini adalah terletak kepada pihak isteri yang mana beliau perlu membuktikan kecuaian dan kegagalan responden dalam memberikan nafkah kepada perayu. Hakim telah merujuk kepada rekod rayuan perayu bagi menentukan bahawa perayu mempunyai hak untuk menuntut. Berdasarkan keterangan-keterangan yang diberikan oleh pihak perayu, dan disokong oleh keterangan 2 orang saksi, maka sabit kecuaian dan kegagalan resonden dalam memberikan nafkah.

Isu ke 2

Persoalan yang kedua yang perlu dikupas adalah berkaitan dengan sama ada Hakim Mahkamah Rendah telah mengambil kira keperluan nafkah isteri dan anak. Hakim Mahkamah Tinggi  bersetuju menyatakan bahawa sewaktu kes terdahulu, sebahagian daripada tanggungan yang dinyatakan dalam kes ini bukanlah merupakan keperluan utama bagi nafkah isteri dan anak.
Sungguhpun begitu mahkamah berpendapat bahawa kegagalan perayu untuk memperincikan perbelanjaan sebenar nafkah dengan mengemukakan bukti-bukti berhubung dengan perbelanjaan perayu dan anak bukanlah satu halangan daripada mahkamah untuk menetapkan bayaran nafkah yang sewajarnya.
Apatah lagi dalam keadaan responden  yang langsung mengabaikan tanggungjawabnya, maka Hakim boleh menggunakan ijtihadnya. Ini selaras seperti dengan tindakan rasulullah s.a.w yang memerintahkan Hindun untuk mengambil nafkah daripada Abi Suffian dengan berkata:

خذي ما يكفيك وولدك بالمعروف

Bermaksud:
Ambillah sekadar apa yang kamu dan anakmu perlukan dengan cara yang baik.

Bahawa dengan itu, Hakim berpendapat bahawa hakim bicara telah gagal untuk menggunakan pendekatan ijtihadnya dalam mengambilkira keperluan perayu dan anak atas nafkah yang selayaknya keatas mereka.
Untuk memnentukan kadar yang munasabah, Hakim telah merujuk kepada seksyen 61 Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 yang menyatakan tentang menentukan jumlah nafkah, Mahkamah hendaklah menaksirkan kemampuan pihak-pihak itu dengan membandingkan kadar nafkah dan pendapatan suami.
Hakim telah merujuk kepada slip gaji responden dalam menentukan jumlah nafkah yang selayaknya diberikan keatas perayu dan anaknya. setelah diperhalusi, gaji bersih responden adalah RM3471.25, dan mahkamah berpendapat bahawa pendapatan responden adalah sederhana.

Oleh itu, setelah mengambil kira keperluan asas bagi nafkah perayu dan anak, Mahkamah memutuskan bahawa nafkah anak yang selayaknya bagi perayu adalah lebih kurang sebanyak 20% daripada gaji bersih responden manakala untuk anak adalah lebih kurang 10%. Oleh yang demikian setelah digenapkan Mahkamah berpendapat bahawa nafkah perayu adalah sebanyak RM700.00 sebulan. Manakala nafkah anak adalah sebanyak RM300.00 sebulan. Bayaran nafkah ini berkuatkuasa mulai April 2005.
Manakala bagi nafkah perayu pada masa hari raya adalah sebanyak RM300.00 setahun dan RM200.00 setahun untuk anak mulai tahun 2005.

Bagi memastikan nafkah ini dibayar secara sempurna, Mahkamah membenarkan bayaran nafkah ini dibayar melalui tahanan pendapatan gaji Responden mulai Julai 2008. Hal ini sepertimana yang dinyatakan di dalam kes Mohd Hassan bin M.Ghazali lwn Siti Sharida binti Mohd Sidque, JH XVIII, m/s 277.
Mahkamah juga berpendapat, nafkah itu juga akan menjadi hutang dan wajib ditunaikan. Dr.Abdul Karim Zaidan menyatakan pendapatnya dalam kitab Al Mufassal Fi al-Ahkam al-Marat wa al-Bait al-Muslimin fi al-Syariah al-Islamiah yang bermaksud ;

“ Pendapat golongan syafiiyah dan al-hanabilah mengikut dua riwayat yang azhar dalam mazhab mereka iaitu Ishak dan Munzir, bahawa sesungguhnya nafkah itu menjadi hutang dalam tanggungan suami apabila ia enggan menunaikannya selepas nafkah itu wajib keatasnya bukan dengan perintah qadi dan bukan dengan kerelaan isteri dan tidak gugur kecuali dengan ditunaikan dan dilupuskan oleh isteri sama keadaanya seperti hutang-hutang yang lain “.
Oleh itu, bayaran tertunggak dan nafkah yang perlu diabayar responden adalah RM39,000.00.




5. PEMBUKTIAN DAN KETERANGAN

5.1 Beban pembuktian

Berdasarkan Alasan penghakiman di dalam kes ini, perkara pertama yang perlu disentuh adalah berkaitan dengan beban pembuktian. Beban pembuktian merupakan diantara elemen keterangan yang penting kerana ia mampu menentukan siapakah yang menanggung beban pembuktian dan juga berat beban tersebut[1]. Dari segi syarak, ianya bermaksud satu penyataan yang dibuat untuk membuktikan kebenaran secara zahir dan nyata.

kes ini adalah berkaitan dengan tuntutan nafkah isteri dan anak berdasarkan undang-undang substantif di bawah peruntukan seksyen 59 (nafkah isteri) dan 72 (nafkah anak) Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan. Berdasarkan peruntukan di dalam seksyen 72 Akta Keterangan Mahkamah Syariah 1997 menyatakan bahawa :

(72) beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii)….

Adalah menjadi suatu kewajipan kepada suami untuk memberi hak nafkah terhadap isteri dan anaknya yang juga merupakan tanggungan baginya. Oleh itu, beban pembuktian di dalam kes ini adalah terletak kepada pihak isteri bagi membuktikan kecuaian suami dalam memberi nafkah. Berdasarkan prinsip :

البينة على المداعي واليمين على من انكر
Yang bermaksud : keterangan keatas orang yang mendakwa dan sumpah ke atas pihak  yang mengingkarinya.
prinsip  ini menyatakan beban bagi membuktikan dakwaan adalah terletak kepada pihak perayu sama ada responden hadir atau enggan hadir. Jika responden hadir sekalipun, maka perayu wajib membuktikan dakwaanya. Apatah lagi jika responden tidak hadir maka prinsip ini masih lagi relevan.
Majallah al-Ahkam memperuntukkan keterangan itu bagi orang yang mendakwa dan sumpah bagi orang yang ingkar. Dengan kata lain perkataan sesiapa yang menuntut apa-apa dari orang lain adalah kewajipan untuk membuktikan perkara itu, prinsip ini merangkumi sama ada  merangkumi kes yang berkenaan hak Allah (huquq Allah) yang biasanya boleh dikenakan hukuman had (hudud) atau yang mengenai hak manusia (huquq al-Ibad).[2]

5.2 Perbicaraan tanpa kehadiran salah seorang yang bertikai

Pihak responden di dalam kes ini telah gagal menghadirkan diri ke Mahkamah sehinggalah keputusan kes diumumkan. Walau bagaimanapun, hakim menetapkan untuk meneruskan kes ini tanpa kehadiran pihak responden kerana kes ini melibatkan tuntutan nafkah isteri dan anak yang sememangnya merupakan tanggungjawab bagi seseorang suami untuk menunaikannya. Kes ini diteruskan  berdasarkan peruntukan undang-undang di dalam seksyen 121(b) ATMMS yang memperuntukkan :

(1)                Jika; apabila mana-mana tindakan di panggil untuk pendengaran-
(a)         …
(b)    Defenden tidak hadir, mahkamah boleh, tertakhluk kepada bukti penyampaian   wajar, mendengar dan memutuskan tindakan itu tanpa keehadirannya ;

Perbicaraan tanpa kehadiran pihak yang satu lagi juga adalah diharuskan jika pihak yang satu lagi sengaja enggan hadir. Sepertimana telah disebut di dalam kitab I’aanah al-Talibin, halaman 392 menyatakan :-

(والقضاء على غائب) شروع في بيان جواز القضاء لحاضر على الغائب.

Bermaksud : ” bahawa perbicaraan sebelah pihak adalah harus jika pihak lawan tidak hadir dengan sengaja atau menyembunyikan diri ”
Berdasarkan buku Abdul Karim Zaidan, sekiranya pihak yang di dakwa itu enggan hadir, maka, harus bagi Hakim menghadirkannya secara paksa. Jika Hakim tidak mahu hadirkannya secara paksa atau mahu tetapi tidak mungkin dipaksa, maka Hakim boleh menjalankan perbicaraan tanpa hadirnya pihak yang di dakwa setelah selesai prosedur-prosedur yang ditentukan.


 5.3 kecuaian responden dalam memberikan nafkah.

 Isu pertama yang menjadi persoalan di dalam kes ini adalah sama ada hakim Mahkamah Rendah  Syariah telah mengambil kira tentang kecuaian dan kegagalan responden untuk menyediakan nafkah isteri dan anak.
Dalam menghuraikan isu yang pertama ini, terdapat 2 fakta isu (persoalan ) yang perlu dibuktikan oleh pihak perayu iaitu:

- sama ada pihak responden telah berlaku cuai dalam memberikan nafkah kepada perayu dan anaknya
- pembuktian isteri tidak nusyuz yang menjadi penghalang kepada penerimaan nafkah.
Bagi menghuraikan fakta isu yang pertama, terdapat 2 elemen keterangan yang telah dikenalpasti iaitu :
1.       Qarinah dan
2.       syahadah/ bayyinah .

1.Qarinah
Dalam membuktikan bahawa suami (responden) telah bersikap cuai dalam memberikan nafkah kepada isteri dan anaknya, hakim telah merujuk kepada keterangan yang dilakukan perayu semasa kes terdahulu.
Berdasarkan peruntukan seksyen 17 (3) menyatakan :

(3) sesuatu iqrar yang berhubungan dengan apa-apa fakta persoalan atau fakta relevan ialah qarinah.

Berdasarkan peruntukan didalam seksyen 8 (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah menyebut :

(2)    kelakuan mana-mana pihak, atau kelakuan mana-mana ejen kepada mana-mana pihak, dalam apa-apa guaman atau prosiding berkenaan dengan guaman atau prosiding itu, atau berkenaan dengan mana-mana fakta persoalan itu, atau berkenaan dengan mana-mana fakta persoalan dalamnya atau yang relevan dengannya, dan kelakuan mana-mana orang yang kesalahan terhadapnya menjadi perkara mana-mana prosiding ialah qarinah jika kelakuan itu mempengaruhi atau dipengaruhi oleh mana-mana fakta persoalan atau fakta relevan, sama ada kelakuan itu berlaku dahulu atau kemudian daripadanya.

Yang menjadi persoalan di dalam kes ini adalah sama ada responden telah cuai dan gagal dalam memberikan nafkah terhadap perayu, oleh itu, hakim telah merujuk kepada keterangan perayu di dalam rekod-rekod rayuan terdahulu yang menyatakan bahawa responden telah keluar daripada rumah mereka yang menjelaskan kepada mahkamah sikap cuai dan kegagalan suami dalam memberi nafkah bermula 30 april 2005.

Menurut buku Sistem Kehakiman Islam karangan Abdul Karim Zaidan menakrifkan Qarinah sebagai tanda atau alamat yang dijadikan sebagai bukti wujud atau ternafinya sesuatu, contohnya jikalau dilihat seorang keluar dari sebuah rumah dalam keadaan ketakutan, ditanganya ada sebilah pisau yang berlumuran darah dan mandapati terdapat orang mati disembelih di dalam rumah tersebut.

Ibn Farhun di dalam kitabnya “Tabsirah al-Hukkam” menyatakan “ sesungguhnya sebahagian daripada cara penghakiman dalam mazhab Maliki ialah berpegang kepada Qarinah, begitu juga dengan mazhab hanafi yang dinyatakan oleh Ibn Qayyim di dalam kitab at-Turuq al-Hukmiyyah.

Oleh itu, keterangan perayu adalah di kira relevan dan kuat untuk dijadikan hujah bagi membuktikan fakta persoalan ini.

 2.Syahadah/bayyinah

Untuk menguatkan lagi keterangan tersebut,  perayu telah membawa 2 orang saksi yang terdiri daripada bapa dan adiknya. Keterangan yang dilakukan oleh kedua-dua saksi adalah bertepatan / menyokong keterangan perayu yang mengatakan bahawa pihak responden telah keluar dari rumah pada 30 april 2005 . Saksi-saksi iini juga memberikan keterangan mengetahui tempat bekerja.
Syahadah menurut istilah fuqaha’ ialah :

“sesuatu perkhabaran yag benar di Majlis kehakiman dengan lafaz syahadah (menyaksi) untuk membukti dan mensabitkan hak ke atas orang lain.”  Menurut ibn Qudamah syahadah juga dinamakan “al-bayyinah” (keterangan) kerana ia menerangkan sesuatu yang ada di dalam jiwa seseorang dan menjelaskan hak yang sebenar pada sesuatu yang dipertikaikan.[3]

Diantara syarat-syarat saksi adalah :
1.       Islam
ulama’ bersepakat bahawa islam adalah menjadi syarat kepada saksi berdasarkan surah al-baqarah : 282
282. …. hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang Yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika Yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan Yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh Yang seorang lagi….
Walaubagaimanapun, ulama’ berbeza pendapat tentang kesaksian orang kafir.

2.       Sempurna akal
Orang yang tidak sempurna akal tidak boleh menjadi saksi kerana dia tidak tahu dan tidak memahami penerimaan kesaksian, dan dia tidak berupaya menyampaikan kesaksian itu.

3.       Baligh
ulama’ sepakat mengatakan bahawa baligh adalah salah satu syarat untuk diterima kesaksian seseorang. Dengan itu, kanak-kanak tidak boleh menjadi saksi walau di minta.
4.       Adil

5.       Kuat daya ingatan (al-Dabt)

6.       Tiada tohmahan
Tohmahan ialah keraguan atas seseorang kerana hubungan baik atau meempunyai kepentingan dengan pihak yang berkaitan atau keraguan ke atas seseorang kerana hubungan buruk (perseteruan) dengan pihak yang berkaitan dalam satu-satu perbicaraan.[4]

Adanya tohmahan ke atas seseorang kerana beberapa sebab. Antaranya disebabkan hubungan keluarga, hubungan persaudaraan (hasil perkahwinan), ada permusuhan atau ada kepentingan tertentu dalam perkara yang dipertikaikan. Adanya tohmah menyebabkan timbulnya perasaan kasih sayang, benci, dendam, takut atau seumpamanya yang memberikan pengaruh yang tidak baik bagi diri saksi ketika mengemukakan kesaksiannya. Syarat tiada tohmah ini adalah berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud , “ tiada kesaksian (syahadah) bagi orang yang ada tohmah.”[5]

Berdasarkan kes ini, mahkamah berpendapat bahawa terdapat 2 kategori saksi iaitu keterangan saksi yang dikira sebagai keterangan syahadah dan keterangan saksi sebagai keterangan (bayyinah). Di sebabkan saksi di dalam kes ini adalah dari kalangan keluarga perayu, maka terdapat unsur-unsur berlakunya tohmahan.

 Dari segi hukum syarak, timbul khilaf dalam menentukan keharusan saksi tohmah seperti kerabat. Mazhab Maliki, Syafie, Hanafi dan juga zahir mazhab hanbali mengatakan tidak harus kesaksian kedua ibu bapa dan mereka yang ke atas bagi anak jika ke bawah sekalipun dan tidak harus kesaksian anak dan mereka yang ke bawah bagi kedua ibu bapa dan mereka yang ke atas. Berlainan pula dengan mazhab az-zahiri yang mana mereka mengharuskan yang demikian itu selagi mana saksi itu seorang yang adil. Walaubagaimanapun, ulama’ bersepakat bahawa hukumnya adalah harus sepertimana yang disebut di dalam kitab al-mughni. Berdasarkan pendapat umum para ulama’, telah dinaskan oleh Imam Ahmad bin Hanbali firman Allah :
   
135. Wahai orang-orang Yang beriman! hendaklah kamu menjadi orang-orang Yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu…    
(surah an-Nisa’ :135)

Ini adalah kerana tidak ada tohmah pada syahadah yang seperti ini, maka ianya mestilah diterima kesaksian sepertimana kesaksian ajnabi bahkan lebih aula.[6] Amalan di Malaysia menetapkan bahawa kesaksian itu diterima tidak secara total tetapi sebagai pengukuh/penguat kepada keterangan perayu. Hal ini sepertimana yang diperuntukkan di dalam seksyen 85(4) Akta Keterangan Mahkamah Syariah yang menyatakan :

(4) keterangan ibu bapa bagi anaknya dan keterangan anak bagi ibu bapanya boleh diterima sebagai bayyinah.
Oleh itu, hakim berpuas hati dengan keterangan saksi dalam kes ini, dimana keterangan saksi ini adalah selari dengan keterangan perayu. Ianya adalah relevan dengan sesuatu dakwaan yang menyatakan responden telah cuai dan gagal dalam memberikan nafkah kepada perayu. Mahkamah berpendapat bahawa bukti-bukti tentang responden yang telah keluar rumah boleh diterima melalui keterangan secara bayyinah.

5.4 Isteri nusyuz

Bagi menjelaskan fakta isu yang kedua di dalam kes ini iaitu pensabitan nusyuz. peruntukan di dalam undang-undang keluarga islam wilayah persekutuan seksyen 59(2) menyatakan bahawa :
(2) Tertakluk kepada Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu, antara lain
(a) apabila dia menjauhkan dirinya dari suaminya;
(b) apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan kemahuan suaminya;
              (c) apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke satu rumah atau tempat lain,

Berdasarkan peruntukan ini, seseorang isteri yang nusyuz adalah menjadi penghalang kepada penerimaan nafkah suaminya, Bukanlah menjadi beban keatas perayu untuk membuktikan dirinya nusyuz, hal ini kerana berdasarkan kaedah qawaid fiqhiyyah :

الأصل براءة  الذمة
pada asalnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggungan

Imam as-suyuti[7] menjelaskan bahawa pada asalnya seseorang itu adalah bebas daripada sebarang tanggungan melainkan setelah dibuktikan sebaliknya. Beban pembuktian terletak pada orang yang mendakwa. Jika pendakwa gagal membuktikan dakwaannya, maka hendaklah dihukum berdasarkan kaedah ini. Perayu tidak perlu membuktikan bahawa dirinya nusyuz kerana tidak terdapat dakwaan dari pihak responden menyatakan perayu nusyuz.

الأصل العدم
 Asal sesuatu itu tidak ada

الأصل في صفة العارضة العدم
Pada asalnya sifat mendatang tidak wujud.

Sifat yang mendatang atau baharu bagi sesuatu, pada asalnya tidak wujud melainkan setelah dibuktikan kewujudannya. Ini adalah satu anggapan yang boleh dipatahkan dengan cara dibuktikan sebaliknya.
Dalam kes ini, jika berlaku pertikaian diantara suami dan isteri berkaitan nafkah, isteri mengatakan nafkah wajib diberi, sedangkan suami tidak memberi nafkah. Dalam keadaan ini, dakwaan isteri adalah diterima kerana pada asalnya, hukum memberikan nafkah adalah kewajipan bagi suami berdasarkan surah at-Talaq ayat 6 dan 7 serta surah al-baqarah ayat 233. Melainkan suami mendakwa bahawa isteri tersebut melakukan tindakan nusyuz terhadap suami. Oleh itu, disebabkan tidak terdapat tuduhan mengatakan perayu nusyuz, maka perayu layak untuk memperoleh nafkah.

Begitu juga dengan anak tersebut di mana tidak terdapat sebarang penafian berhubung dengan nasab responden selaku bapanya. Dan tidak terdapat bukti yang menyatakan anak ini bukan anak tak sah taraf.
Keputusan : oleh itu, setelah meneliti fakta-fakta keterangan perayu dan saksi-saksi mahkamah mendapati bahawa hakim bicara (kes terdahulu) telah gagal untuk mengambil kira berkenaan dengan tindakan responden keluar daripada rumah mulai 30 april 2005 dan juga kegagalan responden selaku suami dan bapa bagi menyediakan nafkah isteri dan anak.



5.5 Kadar nafkah

Fakta isu yang kedua di dalam kes ini adalah sama ada hakim mahkamah rendah telah mengambil kira tentang keperluan nafkah isteri dan anak. Berkaitan dengan isu ini, hakim Mahkamah Tinggi Syariah menyatakan bahawa hakim Mahkamah Rendah telah terkhilaf dengan tidak menggunakan ijtihadnya dalam memperuntukkan kadar nafkah perayu dan anaknya mengikut keperluan mereka. Dalam menentukan kadar nafkah yang munasabah, Mahkamah merujuk kepada seksyen 61 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukan sebagaimana berikut:
  
“Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar, mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu, dengan mengira kadar nafkah itu berbanding denga pendapat orang yang terhadapnya perintah itu dibuat.”
Elemen keterangan yang terdapat di dalam menentukan kadar nafkah yang sepatutnya diperolehi perayu adalah melalui pembuktian (qarinah). Dalam menentukan kadar nafkah yang wajib diberikan hakim telah merujuk kepada slip gaji responden iaitu pada bulan Januari, Febuari dan April tahun 2005 sebagai qarinah.
peruntukan seksyen 6 Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan memberikan garis panduan kepada mahkamah untuk menetapkan ketulenan dokumen tersebut kerana ketidakhadiran responden, seksyen ini menyatakan :

fakta-fakta yang, walaupun tidak menjadi persoalan, sebegitu berkaitan dengan suatu fakta persoalan sehingga menjadi sebahagian daripada transaksi yang sama ialah qarinah.

Pembuktian berpandukan slip gaji ini merupakan salah satu konsep keterangan secara kitabah (bertulis) dalam bentuk qarinah. Menurut Ibn Qayyim, yang menjadi asas penerimaan catatan sebagai keterangan adalah qarinah. Jika qarinah kuat, catatan itu diterima dan hukum dikenakan berdasarkan catatan, jika lemah qarinah itu hendaklah ditolak, jika tidak dapat dipastikan hendaklah diusahakan dengan jelas.[8]
Seksyen 50 Akta Keterangan Mahkamah Syariah menjelaskan berkaitan dengan keterangan sekunder dimana menyatakan :

Keterangan sekunder termasuklah –
(a)…..
(b) salinan yang dibuat daripada naskah asal melalui proses mekanikal, yang sendirinya memastikan ketepatan salinan itu, dan salinan yang dibandingkan dengan salinan itu.
(c)….
(d)….
(e) keterangan lisan mengenai kandungan sesuatu dokumen yang diberikan oleh sesorang yang telah melihat atau mendengar sendiri dokumen itu dan menaggapinya sendiri dengan apa jua cara.
Bagi menguatkan lagi hujah tersebut, Hakim mengganggap bahawa slip gaji ini adalah relevan untuk membuktikan kemampuan responden, sungguhpun slip gaji tersebut adalah slip gaji yang lama. Dakwaan berkaitan tempat kerja responden juga telah disokong oleh keterangan saksi-saksi perayu. Responden juga boleh menafikan dakwaan tersebut tetapi kegagalan Responden untuk hadir ke Mahkamah menyebabkan dakwaan perayu ini disifatkan benar.


Berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan oleh perayu, Mahkamah mendapati bahawa Responden adalah seorang yang mempunyai pendapatan tetap dan bekerja di Multibase Resources dengan pendapatan kasar sebanyak RM4000.00 dan setelah ditolak potongan EPF (RM414.00) SOCSO (RM9.75) PCB (RM105.00), maka gaji bersih Responden sebanyak RM3471.25. Berdasarkan jumlah ini, Mahkamah berpendapat bahawa pendapatan Responden adalah sederhana.

Oleh itu, slip gaji adalah diterima dalam menentukan kadar nafkah yang sepatutnya diterima oleh perayu berdasarkan ijtihad yang dilakukan oleh Hakim.



6. KEPUTUSAN

Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan ini, maka hakim memutuskan

1.       Bahawa rayuan oleh perayu dibenarkan
2.       Bahawa responden dierintahkan membayar nafkah isteri sebanyak RM700.00 sebulan, mulai April 2005 sehingga ada perintah lain.
3.       Bahawa responden diperintahkan membayar nafkah anak sebanyak RM300.00 sebulan, mulai April 2005 sehingga ada perintah lain.
4.       Bahawa bayaran nafkah isteri (RM700.00 dan anak (RM300.00 yang kesemuanya berjumlah RM1000.00 hendaklah dibayar melalui gaji pada bulan Julia 2008 sehingga ada perintah lain.
5.       Bahawa diperintahkan bayaran mulai 39 bulan berjumlah (RM 700 +RM 300 x 39 bulan) RM39,000.00 hendaklah dibayar secara tunai oleh Responden.
6.       Bahawa Responden diperintahkan membayar perbelanjaan hari raya isteri sebanyak RM300.00 setahun, mulai tahun 2005.
7.       Bahawa Responden diperintahkan membayar perbelanjaan hari raya anak sebanyak RM200.00 setahun, mulai tahun 2005.
8.       Bahawa tunggakan bayaran perbelanjaan hari raya isteri dan anak bagi tahun 2005, 2006 dan 2007 selama 3 tahun (RM300.00 + RM 200.00 X 3 tahun) berjumlah RM1500.00 hendaklah dibayar secara tunai oleh Responden.





7.  ANALISIS

Berdasarkan keterangan tersebut, saya bersetuju dengan alasan penghakiman yang Arif Mahkamah Tinggi dalam memutuskan kes ini. Hakim telah menggunakan elemen keterangan seperti qarinah, syahadah (kesaksian) serta ijtihadnya dalam mensabitkan kadar nafkah yang sepatutnya diberikan kepadan perayu dan anak.

Akan tetapi, saya berpendapat, untuk menyakinkan lagi keterangan yang dibuat oleh perayu, sumpah (al-yamin al-istizhar) bolehlah dilakukan oleh perayu. Hal ini kerana, kes ini diputuskan tanpa kehadiran pihak yang didakwa iaitu responden. Perayu boleh melakukan sumpah untuk melepas diri daripada tanggungan.
Yamin istizhar iaitu sumpah yang bertujuan memperkuat dan memperjelaskan tuntutan dan menolak sebarang tohmahan yang terkena kepada penuntut setelah ia Berjaya membuktikan tuntutannya. Sebagi contoh di dalam kes Hasnah lwn Borhan al-Din (JH,VI/I, 1988, 118) berkaitan dengan pengesahan cerai taklik atas alasan meninggalkan penuntut dan tidak memberi nafkah. Penuntut Berjaya membuktikan melalui keterangan dua orang saksi bahawa telah wujud lafaz taklik berkenaan dan telah wujud pelanggarannya. Yang menuntut bersumpah untuk memperkuatkan dan memerjelaskan tuntutan. Lalu tuntutan diterima.
Dr.Abd Karim Zaidan memasukkan sumpah istizhar dalam kes-kes kekecualian apabila pihak yang dituntut itu ghaib atau telah mati dan tidak dapat memberikan sebarang keterangan balas. Dalam keadaan ini, pihak penuntut yang telah berjaya membawa bukti ke atas tuntutan sebelum permohonannya diterima. (Abd Karim Zaidan 1984, 205).[9]

Di dalam majallah al-ahkam[10] terdapat pengecualian beban bukti “orang yang menerima amanah (jadi kepercayaan) iaitu dibenarkan dengan sumpahnya kerana melepaskan diri daripada tanggungan”. Tetapi jika ia berkehendakkan baiyinah supaya melepaskan diri dengan bersumpah undang-undang juga dibolehkan.
Hal ini juga diperuntukkan sepertimana di dalam arahan amalan no.1 tahun 2003 berkaitan dengan penggunaan lafaz sumpah istizhar di dalam mahkamah. Arahan amalan ini menyatakan:

“ Mesyuarat arahan amalan mahkamah syariah telah bersetuju untuk menerima pakai arahan amalan berhubung dengan penggunaan sumpah istizhar dalam kes mal dengan ketidak hadiran defenden dan mahkamah setelah mendengar kesemua keterangan dan hujah palintif dan untuk mengelakkan tohmah, maka mahkamah hendaklah sebelum membuat keputusan bagi plaintif memerlukan plaintif mengangkat sumpah istizhar. ”
Dr. Abdul Karim Zaidan, di dalam buku beliau Nizam al-Qadha Si Syariat al-Islami, halaman 270 menyatakan :
seorang wanita apabila dia minta hakim supaya mewajibkan nafkah baginya daripada harta suaminya yang ghaib, maka hakim akan meminta dia bersumpah dengan nama Allah, “ bahawasanya dia (suami) tidak memberi kepada engkau nafkah semenjak dia keluar dan tidak meninggalkan harta untuknya dan tidak pula menceraikannya”
Berkaitan dengan kadar nafkah yang telah diputuskan hakim, saya bersetuju dengan keputusan hakim dimana yang Arif telah mengambil kira kemampuan responden berpandukan slip gaji beliau dan keperluan perayu serta anaknya. Hal ini seperti yang disebut di dalam hadis Hindun berkaitan dengan kadar nafkah di mana Rasulullah memerintahkan Hindun agar mengambil harta suaminya sekadar yang mencukupi untuk diri dan anaknya.

Di dalam kes Noor Bee lwn Ahmad Shanusi mengenai kadar nafkah, Y.A.A kadi besar menjelaskan bahawa kadar nafkah idah ialah mengikut kedudukan atas nisbah kaya atau miskin atau pertengahan.
Oleh itu, keputusan hakim di dalam kes ini ada relevan dan diterima pakai berdasarkan keterangan-keterangan yang disebutkan didalam kes ini.


8. KESIMPULAN
Secara ringkasnya, bolehlah disimpulkan bahawa nafkah merupakan tanggungjawab wajib seorang suami terhadap isteri dan anak-anaknya, dan isteri mempunyai hak untuk menuntut nafkah yang tidak diberikan oleh suaminya di mahkamah. Isteri menanggung beban bukti dalam mensabitkan seseorang suami berlaku cuai dan gagal dalam memberikan peruntukkan nafkah kepada isterinya dan sekiranya terdapat tuduhan isteri tersebut nusyuz yang menghalang dirinya daripada mendapat peruntukan nafkah, maka seseorang isteri juga menaggung beban bukti untuk membela dirinya di Mahkamah.

 Hal ini juga adalah di dasari dengan hadis Hindun, dimana beliau telah berjumpa dengan Rasulullah Sallahu Alaihi Wassalam untuk bertanyakan berkaitan nafkah yang tidak diberikan oleh suaminya iaitu Abu Suffian. Maka, Rasulullah Sallahu Alaihi memerintahkannya agar mengambil dari harta suaminya sekadar yang mencukupi keperluan bagi diri dan anak-anaknya.

Undang-undang keterangan adalah penting bagi Hakim membuat pertimbangan sebelum membuat keputusan muktamad. Pihak yang mendakwa dan didakwa perlu mengemukakan hujah dan bukti yang jelas untuk mempertahankan hak dan kebenaran. Hakim akan menilai keterangan berdasarkan kekuatan hujah dan elemen keterangan yang di bawa oleh kedua belah pihak sebelum menjatuhkan hukuman.


BIBLIOGRAFI
1.       Al-Quran al-Karim.
2.       Sunnah Nabawiyyah.
3.       Abd Karim Zaidan (2010), Nizam Al-Qadha Fi Syariat al-Islamiyyah, diterjemahkan oleh Mohd Salleh Ahmad, cetakan pertama, Edisi Terkini, Pustaka Haji Abdul Majid, Selangor.
4.       Abdul Rahman Mustafa (1988), Prinsip-prinsip Undang-undang Keterangan Islam : Suatu Pendekatan Perbandingan, Cetakan pertama,  Al-Rahmaniah, Kuala Lumpur.
5.       Akta Keterangan 1950 [Akta 676]
6.       Akta Keterangan Islam Mahkamah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan  1997 [Akta 561]
7.       Mahmud Saedon A.Othman (2003), Undang-undang Keterangan Islam, cetakan ke-3, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
8.       Ruzman Md. Noor, Pembuktian di Mahkamah Syariah dalam Ahmad Hidayat Buang et, al, (2007), Undang-undang Islam Di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
9.       Ruzman Md. Noor, Kesaksian Dalam Konteks Undang-undang Keterangan Dalam Mahkamah Syariah Di Malaysia : Analisis Dari Persektif Hukum Syarak dalam http://myais.fsktm.um.edu.my/ diakses pada 20 november 2011



[1] Abdul Rahman Mustafa, Prinsip-prinsip Undang-undang Keterangan Islam : Suatu Pendekatan Perbandingan, hlm 6
[2] Abd Rahman prinsip-prinsip undang-undang Keterangan Islam, hlm 8
[3] Abdul Karim Zaidan, Sistem Kehakiman Islam, bab as-syahadah hlm. 211
[4] Ibnu Rusyd, Muhammad bin Ahmad bin Rusyd, hlm 500
[5] Al-Kahlani, al-Syed al-Imam Muhammad bin Ismail, op.cit., hlm 128
[6] Abdul Karim Zaidan, Sistem kehakiman islam, hlm 240
[7] Jalaluddin Abd Rahman alSuyuti, op.cit hlm 59
[8] Mahmud Saedon, Undang-undang Keterangan Islam, hlm 167
[9] Ruzman Md. Noor, Pembuktian di Mahkamah Syariah dalam Ahmad Hidayat Buang et, al, (2007), Undang-undang Islam Di Malaysia : Prinsip dan Amalan, Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur hlm 197
[10] Majjallah al-ahkam, ss 1174

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...